10 April 2013
Ah Siew (duduk, kiri) bersama Fa Fui (duduk, dua dari kiri) dan jentera PDM Kampung Baru Bukit Gelugor selepas melawat PDM.
Meskipun begitu, penduduk sebulat suara tidak memberi sokongan kepada Tian Chua sebaliknya menyokong Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru Bukit Gelugor, Wong Ah Siew berkata, ada pihak menyatakan penduduk kampung bersama-sama melakukan bantahan sehingga mencetuskan kekecohan.
“Kami memang tidak terlibat. Difahamkan yang terlibat adalah badan bukan berkanun dan orang luar dari kawasan kampung ini.
“Tidak timbul juga isu perkauman yang dinyatakan sesetengah pihak. Kami sebulat suara tetap menjaga keamanan kampung ini, namun disebabkan kehadiran Tian Chua, ia mencetuskan ketegangan,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Baru Bukit Gelugor dekat sini, malam kelmarin.
Ah Siew berkata, kedatangan Tian Chua ke kawasan tersebut sememangnya tidak dialu-alukan.
“Penduduk kampung memang tidak menyokong beliau kerana kami masih lagi percaya kepada BN dan tetap berada di belakang BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Kenyataan yang dikeluarkan Tian Chua berhubung insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah sebagai sandiwara Umno menjerat dirinya sendiri hingga menyebabkan sebahagian masyarakat membencinya,” katanya.
Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Kuala Pilah, Datuk Chai Fa Fui berharap agar insiden itu tidak berlarutan sehingga menjejaskan gerak kerja PDM Kampung Baru Bukit Gelugor.
“Saya percaya, apa yang berlaku disebabkan kenyataan Tian Chua dan ia tidak melibatkan mana-mana kaum.
"Ahli jawatankuasa PDM perlu bersemangat dan melaksanakan tugas yang diamanahkan. Kita perlu bersatu untuk mencipta kegemilangan BN pada PRU kali ini. Jangan terlalu leka sebaliknya fokus kepada gerak kerja yang diberikan sekiranya mahu menang besar,” katanya.


0 Komen