11 April 2013
Tiong Lay (duduk, lima dari kanan) dan tetamu kehormat dan penduduk setempat yang menyertai Program Gotong-royong di Taman Clonlee.
Pengerusi KRT, Tan Tiong Lay berkata, beliau kesal apabila ada penduduk yang tidak mahu bekerjasama dalam menjaga kebersihan di kawasan taman perumahan dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja untuk menguruskannya.
Menurutnya, senario itu kurang sihat kerana seharusnya kesemua ahli taman memanfaatkan program yang dilaksanakan KRT seperti gotong-royong bagi menjalankan tanggungjawab menjaga kebersihan di taman berkenaan. “Bagaimanapun, dari aspek Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang dilaksanakan di sini, kita berterima kasih kepada penduduk kerana bersama-sama menjaga keselamatan taman dari masa ke masa.
“Malah, kita yakin SRS di sini berjaya mengurangkan kes jenayah di sini di mana pada tahun ini hanya satu kejadian jenayah berlaku di sini berbanding tahun lalu,” katanya sempena Program Gotong-royong di Taman Clonlee, di sini. Turut hadir, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Naizarina Isa dan Setiausaha MCA Bahagian Tampin, Yap Seong Fook.
Sementara itu, Naizarina berkata, dia berharap kesemua KRT di daerah Tampin akan terus melipatgandakan lagi program yang mampu meningkatkan semangat perpaduan sekali gus turut menyemai sikap toleransi menjaga penempatan sendiri dalam kalangan komuniti setempat.


0 Komen