ANGGOTA polis forensik menjalankan
siasatan di tempat Tan Kok Soon dibunuh di sebuah restoran di Pusat
Komersial Oakland, Seremban, kelmarin.
Mangsa, Tan Kok Soon, 56, maut di tempat kejadian selepas ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki pada pukul 6.55 petang, ketika beberapa pelanggan lain turut berada di restoran berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Zazali Hashim memberitahu, suspek yang dipercayai warga tempatan dan memakai topi keledar penutup penuh itu dipercayai datang ke restoran terbabit dengan menaiki motosikal.
Katanya, suspek kemudian meluru ke arah mangsa lalu melepaskan tiga das tembakan dari arah belakang lelaki itu menyebabkannya tersungkur di hadapan isteri dan dua orang anaknya.
"Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya," katanya ketika ditemui pemberita dekat sini malam tadi.
Menurut beliau, polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemukan sebanyak tiga kelongsong peluru dan tidak menolak kemungkinan penyerang mangsa menggunakan pistol jenis semi automatik.
Jelas beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar dekat sini untuk tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya untuk tujuan pengebumian.
"Polis masih menyiasat motif kejadian dan juga sedang mengenal pasti pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.


0 Komen