Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan kekal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) serta memaklumkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin kekal bertanding di kerusi Parlimen Rembau.
“Ya saya sahkan. Setakat ini tidak ada apa-apa indikator saya akan bertanding di luar. Saya akan bertanding di Rantau melainkan kalau ada perubahan pada saat-saat akhir, tak tahulah saya.
“Tetapi setakat ini, Presiden parti (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) bersetuju saya bertanding di Rantau. Jadi kalau tidak apa-apa perubahan, insyaAllah saya bertanding di Rantau. Saya harap cakap-cakap mengatakan saya bertanding di sana-sini eloklah dipadamkan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Taklimat Teknikal Barisan Nasional, di Wisma UMNO di sini, semalam.
Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau dan mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada 25 Mac 2004 sebelum mengekalkan kemenangannya pada PRU 2008.
Beliau juga Ketua UMNO Bahagian Rembau serta menjawat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia.
Dalam sidang media sama, beliau ditanya mengenai status Facebook Ketua Pemuda semalam, memaklumkan kepada Pengerusi BN bahawa beliau lebih cenderung tidak bertanding kali ini, Mohamad berkata setahunya Khairy bertanding di Rembau.
Selain itu, Mohamad turut mengesahkan calon BN Negeri Sembilan sudah dimuktamadkan dan dijangka terdapat sedikit ‘gegaran’ ketika diumumkan kelak.
Beliau menasihatkan jentera parti sentiasa bersatu-padu dan mengamalkan sikap supaya jangan pentingkan diri. “Kepada yang nak menjadi calon, tapi tak dapat, tak apalah bukan nasib kita. Kepada yang sudah pun menyandang jawatan, tetapi tak lagi diberi peluang mewakili parti, syukur Alhamdulillah kita dah menjadi YB (wakil rakyat) sebelum ini. “Orang dah sokong kita, maka kita patut pula bersama-sama menyokong sesiapa saja calon yang diberi kepercayaan pucuk pimpinan parti,” katanya.
0 Komen