Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi menerima borang keahlian Kelab Dewan Himpunan Pas Jelebu, malam kelmarin.
JELEBU – Pas tidak boleh berbaik dengan Umno kerana Umno parti kebangsaan yang fanatik kepada perkauman.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, Umno mengamalkan sikap fanatik kaum dan sanggup menzalimi kaum lain.

“Islam mengajar kita sayang kepada bangsa dan ianya tidak salah, Melayu sayang Melayu tak salah, India sayang bangsa India tak salah, Cina sayang kaum Cina tak salah tetapi sayang kepada bangsa dan menzalimi kaum lain salah, tidak betul dan dilarang dalam Islam.

“Ini sebab Pas tak boleh baik dengan Umno kerana Umno parti kebangsaan yang fanatik kaum. Ini bukan contoh Islam, Islam tak ajar macam ini. Ini contoh Umno yang tak ikut ajaran Islam, sebab itu kita wajib buat perubahan,” katanya ketika berucap pada ceramah di Markas Pas Kampung Peradong, Jelebu, di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani dan Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke.

Turut serta, calon Pas Dun Sungai Lui, Nor Anif Selamat; calon Pas Parlimen Jelebu, Aiman Athitrah Al Jundi dan calon Pas Dun Klawang, Dr Rosli Yaakop.

Menurut Abdul Hadi, pelbagai kaum di negara ini bukan satu masalah kepada Pas tetapi kekuatan.

“Kalau kita adun pelbagai bangsa ini dengan baik ia akan menjadi satu kekuatan. Orang Melayu ada kebolehan, orang Cina ada kebolehan begitu juga orang India.

“Kita satu kebolehan ini untuk bina kekuatan, dengan syarat jangan melaga-lagakan kaum,” katanya.