Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, pegawai berkenaan tidur manakala isteri dan tiga anaknya pula sedang menonton televisyen.
Jurucakap polis berkata, terkejut dengan bunyi tembakan itu, pegawai berkenaan bergegas bangun dan menyelamatkan anak-anak serta isterinya.
Katanya, selepas tembakan itu berhenti, pegawai berkenaan meninjau di luar rumah dan melihat dua lelaki melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC.
"Siasatan di tempat kejadian menjumpai sembilan kelongsong peluru di depan rumah pegawai itu dan kita percaya pistol yang digunakan adalah jenis Walters 9 milimeter.
"Tembakan itu turut mengenai kereta mangsa dan bahagian rumah seperti siling di ruang tamu dan pintu. Mangsa dan keluarganya trauma namun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jurucakap itu memberitahu, pihaknya percaya insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan satu tangkapan satu kes dadah baru-baru ini yang turut menyebabkan pegawai tersebut menerima ugutan.
"Buat masa ini kita menjalankan siasatan secara menyeluruh dan sedang memburu suspek yang terlibat," jelasnya.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.
0 Komen