Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata majlis angkat sumpah itu akan diadakan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mereka yang dinamakan sebagai Exco ialah ADUN Labu Datuk Hasim Rusdi, Abu Ubaidah Redza (Ampangan), Datuk Jalaluddin Alias (Pertang), Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (Serting), Datuk Ismail Lasim (Senaling) dan Abd Razak Ab Said (Gemas).
Turut tersenarai Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Tun Hairudin Abu Bakar (Bagan Pinang), Datuk Norhayati Omar (Pilah) dan L.Manickam (Jeram Padang).
Semua nama-nama tersebut telah dirujuk dan dinilai bersama Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum dipersembah kepada Tuanku Muhriz dan diperkenan baginda, katanya dalam satu sidang media mengenai perkara itu, di sini hari ini.
Bagi porfolio yang akan dipegang Dun berkenaan, Mohamad berkata ia akan diputuskan dalam satu mesyuarat petang ini.
"Keputusan dalam mesyuarat esok berkenaan Speaker akan kita bawa dalam persidangan pertama Dun untuk kita putuskan Speaker Dun," katanya.
Mengenai ketiadaan wakil Cina dalam senarai tersebut, Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri berkata menerusi konsep terbuka yang diamalkan selama ini, beliau yakin kerajaan mampu memberikan perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.
Ditanya sama ada pihaknya akan melantik penasihat kepada kerajaan yang juga akan bertindak mewakili kaum Cina dalam kerajaan negeri, beliau berkata buat masa ini ia belum ada keperluan.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat Cina tidak perlu risau mengenai perkara itu kerana walaupun tiada wakil Cina dalam exco kerajaan, tidak bermakna kepentingan dan hal ehwal masyarakat itu akan dipinggirkan.
Pada majlis itu Tuanku Muhriz turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan dan menyaksikan semua exco menandatangi sumpah jawatan.
Portfolio yang akan dipegang oleh Adun-adun terbabit dijangka diputuskan pada mesyuarat pertama exco yang akan dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan petang ini.
Tuanku Muhriz dalam titah ucapannya pada majlis itu mengucapkan tahniah kepada semua Adun yang dipilih menganggotai exco dan menggesa mereka berkhidmat sebagai sebuah pasukan yang mantap dalam memajukan negeri.
Baginda bertitah semua yang dilantik harus melaksanakan amanah yang diterima ini dengan bersungguh-sungguh, ikhlas serta telus dan tidak mengkhianati amanah yang diberikan.
"Beta percaya dengan pelantikan ini juga, kamu akan memastikan segala kepentingan luar seperti kepentingan perniagaan akan dilepaskan kerana kedudukan yang diamanahkan ini bukan untuk disalahgunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri," titah baginda.
Turut berangkat ke istiadat itu Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Hadir sama Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Rembau Datuk Muhamad Sharip Othman, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan serta beberapa anggota DUN dan Parlimen.- Bernama
0 Komen