17 Mei 2013
Tanggal 26 Mac 2012 adalah detik yang tidak dapat dilupakan buat Mastura Mat Razalrol Ismail, 24, dan keluarga apabila mendapat tahu adiknya, Mohd Fadil, 18, diserang demam panas lalu koma selama dua bulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), dekat sini.
Kejadian itu menggusarkan semua ahli keluarga termasuk ibunya, Fatimah Sidek, 51, dan bapanya, Mat Razalrol Ismail Nordin, 50, kerana Mohd Fadil merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abu Samad, Tanjung Ipoh, dekat sini.
Mastura berkata, dia nekad berhenti kerja selepas melihat kepayahan ibu bapanya yang masih bekerja menjaga adiknya itu.
"Selepas pulang ke kampung, saya mengambil alih tugas menjaga adik ekoran kesemua adik-beradik mempunyai komitmen lain.
"Walaupun kehilangan kerja, saya tidak menyesal dan berpuas hati dapat menjalankan tanggungjawab terhadap adik," katanya.
Menurutnya, buat masa ini, bantuan dari segi peralatan pernafasan, katil dan beberapa barang lain dibiayai Baitulmal.
"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu memberi elaun bulanan sebanyak RM300. Jadi dengan wang itu kami membeli susu khas Ensure berharga RM70 setin dan lampin pakai buang setiap bulan.
"Buat masa ini, belum ada badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin tempatan menziarahi adik," katanya.
Mastura berkata, bantuan RM300 yang diterimanya itu sebenarnya tidak mencukupi untuk membeli keperluan Mohd Fadil.
"Setiap hari adik perlu minum susu sebanyak tujuh kali dan susu hanya bertahan seminggu sahaja. Begitu juga dengan lampin pakai buang.
"Adik hanya terlantar selepas koma, pernafasannya perlu dibantu oleh mesin pernafasan yang ditebuk di leher. Jika mahu minum, saya akan masukkan melalui tiub tembus ke saluran hidung," katanya.
Malah katanya, apabila mesin bantuan pernafasan berfungsi 24 jam, bil elektrik meningkat kepada lebih RM300 sebulan.
"Memang agak perit juga untuk membayar bil elektrik yang tinggi. Tetapi demi adik, kami sekeluarga bertungkus lumus untuk menampungnya walaupun ada kalanya tidak mencukupi.
"Pernah berlaku gangguan bekalan elektrik di rumah. Saya bimbang adik tidak mampu bertahan, namun alhamdulillah dia dapat bertahan selama empat jam sebelum elektrik kembali pulih," katanya.
Sehubungan itu katanya, dia berharap ada pihak yang sudi meringankan beban mereka sekeluarga untuk menampung perbelanjaan susu dan lampin pakai buang yang amat diperlukan.
"Saya harap sesiapa yang sudi membantu dapat menyalurkan bantuan ke akaun Maybank saya, 155108806366," katanya.
0 Komen