18 Mei 2013
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, Mohd Hairulnizam Hanafiah, 23, cedera parah selepas bahagian kanan lehernya dikelar dengan senjata tajam.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas kira-kira 20 minit mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini.
Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pada awalnya, mangsa bersama tujuh rakannya ke pusat karaoke terbabit kira-kira 12 tengah malam.
“Ketika berada di sebuah bilik di pusat karaoke itu, mangsa tiba-tiba keluar kerana terdengar ada pergaduhan di bilik lain.
“Seorang lelaki keluar dari bilik tersebut dalam keadaan marah, lalu terlanggar bahu mangsa," katanya.
Menurutnya, selepas kira-kira satu jam, rakan mangsa yang masih berada dalam bilik karaoke tidak sedap hati apabila mangsa tidak masuk semula dalam bilik.
Katanya, rakan mangsa kemudian keluar mencari mangsa dan terkejut selepas mendapati mangsa duduk tersandar di pintu keluar pusat karaoke berkenaan dengan keadaan leher berlumuran darah.
"Mangsa yang cedera parah dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan," katanya.
Saiful Azly berkata, polis sudah mengenalpasti seorang suspek terlibat dan meminta mereka yang terlibat dalam kejadian itu untuk tampil menyerah diri.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa, Mohd Ridiman Hanafiah, 35, berkata, adiknya itu sepatutnya mula melaporkan diri untuk bekerja di sebuah kilang, Isnin ini.
"Arwah begitu teruja memberitahu yang dia sudah mendapat kerja. Saya orang yang paling gembira apabila dia memberitahu saya, tapi saya terkilan kerana hajatnya untuk bekerja tidak kesampaian," katanya.
Menurutnya, ketika mendapat berita buruk menimpa adiknya itu, dia sedang menonton televisyen.
"Waktu itu dalam 2.30 pagi, kawan saya beritahu adik saya cedera di pusat karaoke. Sebaik saya sampai di hospital, arwah sudah terlalu nazak sebelum meninggal dunia," katanya yang kali terakhir bertemu dengan arwah dua hari lalu, di rumah ibu mereka di Taman Satria, dekat sini.
Menurut Ridiman, arwah merupakan anak bongsu dari enam adik beradik dan amat disenangi mereka sekeluarga.
"Dia sudah tiga hari dia tidak pulang bermalam di rumah saya kerana mahu menemani ibu di rumah, selain mahu membantu ibu menguruskan kedai,” katanya.
Sementara itu, teman wanita arwah, Nur Uzatul Sharqiah Mokhtar, 23, berkata, dia sempat bertemu dengan arwah kira-kira 8 malam sebelum kejadian di kedai makan ibunya.
Bagaimanapun, sikap arwah lain dari biasa apabila lebih banyak menundukkan muka ketika berbual.
"Kami biasa berjumpa di kedai makan ibunya. Tapi ketika kami makan, saya tengok dia tidak mahu memandang muka saya. Saya tanya dengan arwah tapi dia hanya mendiamkan diri. Saya tidak sangka itu kali terakhir saya berjumpa dengannya,” katanya yang merancang untuk bertunang tahun hadapan.
0 Komen