18 Mei 2013
Itulah kata-kata seorang penyamun yang berpura-pura sebagai wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Rembau bagi meninjau dan mengukur halaman rumah seorang warga emas di Kampung Lada, dekat sini, pagi semalam.
Mangsa, Latifah Lebai Abd Aziz, 73, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.45 pagi, dia masih berada di halaman rumah selepas dikunjungi jirannya dan pada masa itu pintu pagarnya masih lagi berkunci.
“Tiba-tiba datang seorang lelaki berbadan besar yang menunggang motosikal. Dia hanya berpakaian biasa sahaja tetapi lengkap dengan buku, fail dan juga pita pengukur untuk mengukur kawasan rumah.
“Makcik tidak curiga lebih-lebih lagi melihat lelaki berkenaan sangat ramah bercerita mengenai usaha BN untuk menurap jalan di kawasan rumah penduduk,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Lada, semalam.
Latifah berkata, dia membuka pintu pagar dan lelaki berkenaan menjalankan tugas mengukur kawasan rumahnya yang masih belum berturap, namun sebelum itu lelaki terbabit meminta dia menyediakan minuman.
Menurutnya, pembantu rumahnya menyediakan minuman yang diletakkan di dalam rumah dan semasa dia menuangkan minuman, lelaki itu memeluknya dari belakang sebelum mengacukan pisau di lehernya.
“Lelaki itu menyuruh saya menyerahkan barangan kemas dipakai, namun belum sempat saya berbuat demikian, dia sudah merentap rantai leher saya dan mengambil dua bentuk cincin yang saya pakai," katanya yang kerugian sekitar RM5,000.
Latifah berkata, kejadian seumpama itu adalah kali keenam dihadapinya sejak dia mula menduduki kawasan itu penghujung 90-an.
“Empat daripadanya semasa saya tiada di rumah, namun kejadian terbaru ini agak menakutkan kerana penyamun bertindak mengacukan pisau di leher saya.
“Pembantu rumah saya, Maspapuri Basran, 47, yang terdengar kekecohan segera datang dan lelaki itu bertindak meragut rantai lehernya pula. Saya yang ketakutan melarikan diri dan mendapatkan bantuan jiran," katanya.
Sementara itu, Maspapuri berkata, tindakan majikannya menjerit meminta pertolongan menyelamatkannya apabila lelaki itu bergegas melarikan diri menghala ke arah Tampin.
Sinar Harian pada 22 Jun tahun lalu melaporkan modus operandi serupa di mana seorang penyamun meragut barangan kemas milik warga emas di Bukit Kledang, Kota dan pada 11 Julai tahun lalu, sekali lagi taktik sama digunakan penyamun sebelum meragut rantai milik warga emas di Kampung Nerasau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mizan Md Dom mengesahkan kejadian itu dan menasihatkan orang awam untuk tidak terlalu cepat mempercayai individu yang mewakili agensi kerajaan tertentu.
“Kita percaya suspek ini berusia lingkungan 40-an dan menunggang motosikal Honda Cup berwarna biru. Suspek sentiasa berpakaian kemas, tegap, tinggi dan bermisai tebal selain membawa kelengkapan bagi mengukur jalan," katanya.
Katanya, sekiranya dihampiri individu dengan ciri-ciri berkenaan atau mana-mana individu mencurigakan orang awam boleh menghubungi balai polis terdekat atau Bilik Gerakan IPD Rembau di talian 06-6851999.
0 Komen