Mohamad Hasan (duduk) memerhatikan Jambatan Kuala Klawang-Pekan Titi selepas merasmikannya dekat Jelebu, semalam.
JELEBU 30 April - Usaha memperkasakan sistem
jaringan jalan raya terbaik di negeri ini terus dilakukan oleh kerajaan
negeri Barisan Nasional (BN) apabila berjaya menyiapkan projek jambatan
Kuala Klawang-Pekan Titi bagi menggantikan laluan sedia ada yang kini
siap sedia untuk kegunaan orang ramai.
Projek jambatan berkenaan yang sepatutnya menelan belanja RM6.3 juta
berjaya diturunkan kepada RM5.4 juta, bahkan mencatat sejarah tersendiri
apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai jambatan terpanjang di Malaysia menggunakan konsep salur konkrit berprestasi ultra tinggi (UHPDC).
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, jambatan
berkenaan merupakan inspirasi dan sebuah janji ditepati kerajaan negeri
bagi memudahkan rakyat yang menggunakan laluan ini untuk berulang-alik
dari Kuala Klawang- Pekan Titi.
''Jambatan asal yang dibina pada 1920 ini telah uzur dan struktur
fizikalnya sempit turut berisiko dan boleh menyumbang kepada kemalangan.
''Jambatan sepanjang 50 meter ini bakal memberikan keselesaan kepada
pengguna yang ingin ke Pekan Titi dan seterusnya menghubungkan laluan ke
Hulu Langat, Selangor," katanya ketika merasmikan laluan berkenaan di
sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir.
Dr. Roslan Md. Taha, Pegawai Daerah Jelebu, Zaidi Johari dan calon-calon
BN kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelebu.
Mohamad turut menjelaskan jambatan baharu mempunyai kelebaran 11.9
meter termasuk 2 meter di kiri kanan bagi laluan basikal atau pejalan
kaki adalah lebih dua kali ganda lebar daripada jambatan lama yang hanya
5.6 meter sahaja.
Katanya, kos pembinaan projek berkenaan telah dibentangkan dalam
bajet kerajaan negeri pada penghujung tahun 2011, membabitkan
kerja-kerja menaik taraf, membaiki jambatan serta kemudahan awam lain di
negeri ini.


0 Komen