29 Mei 2013
Mangsa, See Toh Wei Kit, 24, berkata, lelaki terbabit dikenalinya Disember lalu merupakan seorang pelanggan tetap kedai makannya.
“Dia beritahu, sekiranya saya mahu mengecat kereta, saya boleh datang ke bengkelnya di Taman Seremban Jaya dengan ditawarkan diskaun harga," katanya.
Menurutnya, pada 16 Mei lalu, dia menghubungi lelaki terbabit kerana mahu mengecat beberapa kesan calar di keretanya, sebelum berjumpanya di sebuah kedai makan di Taman Seremban Jaya, kira-kira 10.30 pagi.
Katanya, lelaki terbabit yang datang menunggang motosikal membawanya ke sebuah bengkel yang tidak jauh dari situ.
“Saya pergi ke bengkel yang didakwa miliknya dan melihat sendiri dia memberi arahan kepada pekerja di situ cara mengecat kereta saya.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa ketika itu. Dia menawarkan harga RM350 dan berjanji menyiapkannya keesokan harinya sebelum menghantar saya pulang ke rumah di Taman Temiang Jaya,” katanya.
Wei Kit berkata, esoknya, dia menghubungi lelaki terbabit yang memberitahu keretanya akan siap pada waktu petang dengan alasan ada beberapa lagi kerja masih belum disiapkan.
Bagaimanapun, katanya, dia mula berasa curiga apabila mendapati lelaki itu tidak menghubunginya selepas beberapa jam.
“Jadi, saya terus datang ke bengkel berkenaan dan saya terkejut apabila mendapati seorang lelaki lain memperkenalkan dirinya sebagai pemilik bengkel berkenaan.
“Saya diberitahu seorang lelaki yang mendakwa kereta itu miliknya telah datang mengambil kereta saya kira-kira 3 petang pada hari kereta saya dihantar,” katanya ketika sidang media di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temiang, Ng Chin Tsai, dekat sini semalam.
Terkejut dengan keadaan itu, Wei Kit mula menyedari kereta yang dibelinya sejak lima tahun lalu telah dilarikan, lalu bertindak membuat laporan polis.
Katanya, dia bimbang mungkin keretanya disalahgunakan untuk kegiatan jenayah yang boleh mengundang masalah kepadanya kelak.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.
0 Komen