27 Mei 2013
Mohd Hidzir yang juga seorang OKU mahu golongan itu menikmati peluang yang diberikan kerajaan.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Negeri Sembilan, Mohd Hidzir Othman berkata, ketika ini dasar satu peratus untuk 100 kakitangan telah pun dilaksanakan dengan adanya golongan ini berkhidmat di bawah jabatan kerajaan.
“Memang kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana turut memberi peluang untuk golongan ini menjadi sebahagian daripada penjawat awam sebelum ini.
“Bagaimanapun, saya memohon kepada kerajaan agar mengkaji dari segi kenaikan peratusan dan menetapkan sehingga ke 20 peratus bagi membolehkan lebih ramai lagi penjawat awam daripada OKU berkhidmat di bawah jabatan kerajaan.
“Ini kerana apabila ramai golongan ini bekerja di bawah kerajaan, mereka boleh turut memperoleh faedah-faedah sebagaimana yang diperolehi oleh penjawat awam yang lain termasuk pencen,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga exco pusat pertubuhan terbabit berkata, cadangan yang dikemukakan ini adalah bagi memelihara kebajikan di kalangan golongan berkenaan agar mereka boleh turut sama menikmati peluang yang diberikan kerajaan.
“Golongan ini juga mahu merasai penjawatan tetap yang disediakan oleh kerajaan sepertimana masyarakat normal lain dan sekiranya cadangan ini dapat dikaji oleh kerajaan, ia merupakan sesuatu perkara yang paling berharga untuk kami,” katanya.
Katanya, selain itu, kerajaan turut diminta mengkaji elaun yang diberikan ke atas golongan OKU dinaikkan demi kelangsungan hidup memandangkan golongan itu juga tidak dapat lari dari berhadapan dengan kos hidup yang tinggi ketika ini.
“Kami minta agar elaun bagi OKU dari RM300 dinaikkan kepada RM500 bagi membolehkan golongan ini dapat menikmati bantuan yang disediakan oleh sebuah kerajaan yang prihatin,” katanya.
0 Komen