1 Mei 2013
Ah Moi berdiri di hadapan kediaman mesra rakyat yang sedang dibina di Kampung Baru Tampin, semalam.
Ah Moi yang juga ibu tunggal berkata, dia sebenarnya sudah lama mengimpikan kediaman lebih selesa, namun impiannya itu terpaksa dipendam sahaja memandangkan dia tidak mempunyai modal besar untuk mendirikan rumah baru.
Menurutnya, rumah pusaka peninggalan mendiang ayahnya itu yang dibina pada 1950 hanyalah berdindingkan papan dan beratapkan zink yang mana strukturnya sudah terlalu usang serta hampir roboh.
"Saya gembira apabila tiga hari lalu pihak kontraktor datang merobohkan tandas di belakang rumah pusaka ini bagi membina rumah baru tiga bilik berserta ruang dapur dan tandas.
"Buat masa ini, bagi membolehkan kerja membina rumah baru ini siap dibina, saya menetap sementara di rumah kakak saya di Taman Indah, dekat sini," katanya yang mempunyai tiga anak.
Ah Moi berkata, sebelum ini dia tinggal di ladang getah Bukit Batu, Keru dan dipindahkan Ke Kampung Baru Tampin oleh Kerajaan British disebabkan darurat ketika berusia 10 tahun.
"Bagaimanapun, saya gembira apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Tampin memberi borang untuk mendapatkan Rumah Mesra Rakyat dua tahun lalu. Saya mengucapkan terima kasih kepada Barisan Nasional (BN) kerana banyak membantu mengubah nasib saya sekeluarga," katanya.


0 Komen