19 Mei 2013
JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B.Sathianathan mengakui bahawa kurang fokus dan konsentrasi menjadi punca anak-anak buahnya tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Sathianathan menjelaskan, pemain-pemain bukan sahaja berada pada tahap kurang meyakinkan malah turut mengamalkan sikap sambil lewa ke atas pasukan lawan.
“Pemain hilang fokus hampir sepanjang perlawanan hingga menyebabkan banyak peluang gagal disempurnakan dengan baik dan hasrat mengutip mata di halaman sendiri tidak kesampaian.
“Sebaliknya pasukan lawan meraih mata penuh kerana kesilapan kita dan ini harus menyedarkan pemain supaya tidak lagi leka dan terlalu yakin atau berasa cepat selesa kerana ia jelas boleh membawa padah kepada pasukan,” kata Sathianathan ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Ketika ditanya adakah ketiadaan pemain importnya, Marlon Alex James yang menjejaskan hasrat ATM untuk mencuri tiga mata, Sathianathan bagaimanapun menyangkal dakwaan itu.
Sebaliknya beliau menganggap nasib tidak menyebelahi mereka meskipun pemain-pemainnya mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.
“Seperti saya katakan tadi, sikap sambil lewa yang menyebabkan pemain gagal menyerlah. Selepas Negeri Sembilan menjaringkan gol pertama para pemain saya sudah mula goyah.
“Keadaan menjadi bertambah teruk selepas mereka menyumbat gol kedua kerana saya nampak fokus pemain untuk bertahan semakin berkurangan sehingga pasukan lawan banyak mencipta peluang dan ruang bagi menjaringkan gol tetapi nasib juga tidak menyebelahi pasukan tuan rumah,” katanya yang memuji semangat juang pemain pasukan lawan.
Semalam, hasrat ATM untuk memintas kedudukan Lions XII selaku pendahulu Liga Super tidak kesampaian apabila tewas mengejut kepada Negeri Sembilan.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan The Gladiators kekal di tangga kedua liga, dipisah dengan perbezaan dua mata oleh Lions XII.
Mengulas lanjut, beliau yang mengakui kecewa dengan keputusan itu bagaimanapun berharap pemain ATM akan bangkit sambil menegaskan pasukannya tidak lagi boleh keciciran mata dalam baki empat perlawanan selepas ini.
“Setakat ini Lions XII memang mempunyai kelebihan untuk bergelar juara, tapi peluang tetap terbuka untuk kami asalkan baki empat lagi perlawanan memihak kepada ATM.
“Dan Lions XII juga harus disekat agar pasukan itu tidak terus melebarkan jurang mata,” ujarnya lagi.
The Gladiators akan bertemu dengan Selangor 21 Jun, pasukan Terengganu 25 Jun, Pahang 2 Julai manakala Perak 6 Julai.
0 Komen