Saidi terpaksa mendayung sampan untuk ke darat selepas enjinnya terjatuh ke laut.
Saidi Ahmad Abu Bakar, 47, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM6,000 apabila enjin jenis Suzuki 15 miliknya jatuh ke laut ketika dia sedang menjala ikan berseorangan di perairan Telok Kemang.
“Sebaik sahaja enjin berkenaan jatuh ke dalam laut, saya berusaha untuk mencarinya dengan menyelam namun gagal. Bagaimanapun, saya menandakan kawasan itu dan akan mencarinya semula dan berharap akan menemuinya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pengkalan Nelayan Telok Kemang.
Saidi berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menjala dan tiba-tiba enjin yang diskru pada bahagian belakang sampan dan turut diikat tiba-tiba terjatuh ke laut.
“Enjin terjatuh mungkin disebabkan diskru yang longgar. Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam dan saya terpaksa balik semula ke darat dengan mendayung sampan perlahan-lahan, " katanya.
Saidi berkata, sudah tiga minggu dia tidak turun laut kerana sampan berkenaan terpaksa dibaiki akibat kerosakan pada bahagian hadapan, badan serta lantai selepas kejadian ribut yang melanda Port Dickson.
“Sebaik sahaja sampan siap dibaiki, saya terus turun ke laut memandangkan menjala ikan merupakan mata pencarian saya, tetapi tidak sangka saya terpaksa berhadapan dengan masalah enjin jatuh ke laut.
“Kebiasaannya setiap hari saya akan turun ke laut memandangkan kelima-lima anak masih bersekolah dan dua daripadanya berada di institusi pengajian tinggi, " katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu dia mungkin akan turun di persisiran pantai sahaja untuk menjala dan pastinya ia menjejaskan pendapatannya.
Saidi akan membuat laporan polis berkenaan insiden berkenaan sebelum melaporkan kejadian itu kepada persatuan nelayan untuk tindakan lanjut seperti proses permohonan bantuan dan sebagainya.


0 Komen