Nampak mangsa terbaring
Keadaan kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Perodua Kancil di Kilometer 21.9 Jalan Seremban-Tampin, malam kelmarin.
REMBAU - Seorang pelajar tingkatan empat nyaris maut selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan dalam kejadian kemalangan di Kilometer 21.9 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, S Ramesh, 16, dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban sementara pemandu kereta Perodua Kancil, Jelian Udus, 24, tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Saksi kejadian, T Suhaimi T Mohd Isa, 20, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di kedai runcit milik keluarga kira-kira 100 meter dari lokasi kemalangan.

Menurutnya, dia bergegas lari ke lokasi kejadian sebaik terdengar dentuman kuat dan terlihat seorang lelaki terbaring di atas jalan dengan kepala berlumuran darah.

"Jika diikutkan, bulan ini sahaja sudah dua kali kemalangan berlaku di lokasi berkenaan.

"Mujur sewaktu tiba di sana, orang ramai sudah membantu dan menghantar mangsa ke hospital menggunakan kenderaan sendiri," katanya.

Manakala Hamidah Samsuri, 53, berkata, sejak dia mula mendiami Taman Chembong Jaya (TCJ) 15 tahun lalu, lokasi berkenaan sememangnya kerap berlaku kemalangan dan bunyi dentuman adalah perkara biasa.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil yang datang dari arah Rembau telah memberi lampu isyarat untuk membelok ke simpang kanan sebelum tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah bertentangan gagal mengelak lalu berlaku kemalangan.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan dan dikejarkan ke HTJ di Seremban manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya.