Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran kedai perabot di Jalan Tuanku Antah, Rahang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, turut menjejaskan sebuah lagi premis bersebelahan yang menjual alat ganti kereta.
Penolong Kanan Pegawai Bomba, Mohd Ramali Arbai berkata, seramai 32 pegawai dan anggota membabitkan lima jentera bomba bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan.
“Sebaik sahaja sampai ke lokasi, api sedang marak sehingga menyebabkan hampir 100 peratus bangunan lama yang menjual perabot itu musnah.
“Lebih-lebih lagi bangunan tersebut diperbuat daripada kayu dan menyebabkan api marak dengan cepat. Bomba mengambil masa sehingga lima jam untuk memadamkan api dan operasi tamat kira-kira 6.15 pagi,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Mohd Ramali berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berikutan semasa kejadian tiada orang di premis berkenaan, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Malahan katanya, Unit Pengesan Anjing K9 dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur juga digunakan untuk membantu siasatan.
Sementara itu, pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 33, berkata, semasa kejadian dia sedang tidur di rumahnya di sekitar Rahang.
Menurutnya, kejadian hanya diketahui apabila dia menerima panggilan telefon daripada orang ramai memaklumkan kedainya telah terbakar.
“Sebaik sahaja mengetahuinya, saya terus ke menuju ke kedai dan mendapati api sudah marak memusnahkan hampir seluruh kedai,” katanya.


0 Komen