Gempur pendatang tanpa izin
Abd Aziz (kiri) bersama anggotanya ketika serbuan di tapak pembinaan di sebuah resort.
Gempur pendatang tanpa izin
Mereka yang ditahan dibawa menaiki trak ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng.
Gempur pendatang tanpa izin
Wanita mengandung tujuh bulan bersama bayinya.
PORT DICKSON – Seorang wanita mengandung tujuh bulan bersama seorang bayi, antara 79 pendatang asing yang ditahan serbuan Jabatan Imigresen negeri sempena Ops Ramadan di sekitar Rantau dan Port Dickson, kelmarin.

Wanita berusia 21 tahun itu ditahan di tapak pembinaan projek di sebuah resort bersama bayi perempuan berusia 11 bulan.

Dia yang mendakwa dirinya bekerja sebagai tukang masak di rumah kongsi projek pembinaan itu, sementara suaminya yang juga warga Indonesia sudah pulang ke negara asal kira-kira tujuh bulan lalu.

Sementara dalam operasi sama, Jabatan Imigresen turut menahan seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang tempang kaki dari Pakistan yang menjual permaidani di sebuah kedai di pekan Port Dickson.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Abd Aziz Mansur berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 57 tahun membabitkan 62 lelaki dan 16 wanita dari Indonesia, India, Sri Lanka, Nepal, Pakistan, Thailand, Bangladesh dan China.

“Operasi dijalankan bermula 10 pagi dan berakhir kira-kira 10 malam membabitkan 12 anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri dan Port Dickson meliputi kawasan pekan di Rantau dan Port Dickson, tapak projek pembinaan, hotel, restoran, bazar Ramadan, kedai runcit, kedai surat khabar, kedai menjual permaidani dan pasar.

“Antara kesalahan dilakukan pendatang adalah tiada sebarang dokumen perjalanan, menyalahgunakan dokumen perjalanan dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan.

Antara mereka ada yang lebih tujuh tahun berada di negara ini dan mempunyai pekerjaan yang selesa," katanya kepada Sinar Harian ketika operasi, malam kelmarin.

Menurut Abd Aziz, peluang pekerjaan yang banyak merupakan antara sebab utama mereka tidak mahu pulang ke negara asal mereka.

"Kesemua tahanan disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(c) Tinggal Lebih Masa dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen Tiada Dokumen Perjalanan.

“Ops Ramadan beroperasi atas risikan penguatkuasa Imigresen ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Dari semasa ke semasa, Imigresen akan terus menjalankan operasi seperti ini bagi mengelakkan lambakan pendatang asing tanpa izin di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng.