Cemas nampak percikan api
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, malam kelmarin.
 
SEREMBAN – "Saya nampak percikan api keluar dari kedai itu," kata David Yip, 48, ketika menceritakan kebakaran berlaku di sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Jalan Siow Loong Hin, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira 9.30 malam itu memusnahkan hampir keseluruhan kedai menjual alat permainan untuk kanak-kanak.

David yang menguruskan kedai kopi berhampiran berkata, ketika kejadian dia sedang melayan pelanggannya di kedai.

“Ketika itu, ada lima pelanggan di kedai kopi saya. Tiba-tiba saya terbau asap yang sangat kuat dari arah luar kedai dan nampak percikan api serta asap keluar dari tingkat dua kedai itu," katanya.

Tanpa berlengah, katanya, dia terus berlari ke arah bangunan itu dan mengambil masa kira-kira 10 minit mengetuk lima kedai berhampiran kerana bimbang ada orang di dalamnya.

"Saya tahu ada sesetengah kedai bersebelahan masih berpenghuni. Saya risau kalau ada orang di dalam kedai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

David berkata, dalam keadaan panik, orang ramai berlari menyelamatkan diri memandangkan api semakin marak sebelum anggota bomba tiba di tempat kejadian sejurus selepas itu.

Penolong Kanan Penguasa Bomba 2 Negeri, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, tiga jentera membabitkan 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Seremban 2 dan Senawang bergegas ke tempat kejadian.

“Kita percaya kebakaran bermula dari tingkat bawah bangunan berkenaan yang sarat dengan bahan-bahan mudah terbakar,” katanya.

Menurutnya, kerja memadam kebakaran turut dibantu kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) yang membekal tekanan air.

“Api dapat dikawal kira-kira sejam kemudian dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai, Chai Chiung Shin 47, berkata, dia menerima berita kebakaran itu daripada pekerjanya kira-kira 9.40 malam.

Menurutnya, kerugian dialami dianggarkan sekitar RM300,000 hingga RM500,000.