'Saya dah serik'
Tahir menceritakan detik-detik cemas ketika terjatuh dari pokok kabung kepada Norhayati.
KUALA PILAH – “Saya dah serik dan tak mahu panjat pokok buah kabung kerana sudah merasai bagaimana seksanya apabila terjatuh dari pokok itu semasa memetik buahnya,” kata penggemar buah kabung, M Tahir Mansor, 64.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10 pagi, 13 Julai lalu itu, Tahir yang berasal dari Kampung Tanah Melintang patah tiga tulang rusuk dan retak tulang leher apabila terjatuh dari pokok kabung dengan ketinggian lebih kurang sembilan meter.

Tahir berkata, memandangkan pokok itu hanya berbuah setahun lagi, dia berhasrat untuk menambah rezeki pada Ramadan dengan menjual buah kabung.

"Namun hasrat saya itu memakan diri apabila terjatuh ketika memanjatnya.

"Ketika terjatuh saya pengsan selama dua jam dan selepas tersedar saya pulang ke rumah sebelum ahli keluarga saya membawa ke hospital," katanya.

Tahir di temui ketika program lawatan bersama Adun Pilah, Datuk Norhayati Omar bersama Ketua Penolong Pengarah Pusat Dakwah Selamat Paigo dan kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan Pejabat Agama Daerah Kuala Pilah di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), baru-baru ini.

Tahir berkata, pengalaman kali pertama itu akan dikenang sehingga akhir hayat dan sudah serik memanjat pokok kabung.

“Meskipun tahun lalu, saya mendapat pulangan RM2,000 hasil menjual buah kabung, tapi untuk tahun ini dan seterusnya saya tidak akan menjualnya lagi," katanya.