• Jual identiti sendiri  
  • Abdul Kadir Hussin (kiri) sedang menyoal siasat suspek yang ditangkap semalam.

SEREMBAN - Seorang lelaki ditahan ketika berurusan di Jabatan Imigresen dekat Wisma Persekutuan, di sini semalam kerana didapati menjual identiti sendiri untuk digunakan warga asing.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Kapar, Selangor itu ditahan selepas Jabatan Imigresen mendapati gambar yang dilekatkan pada permohonan bagi mendapatkan pasport antarabangsa meragukan.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, ketika membuat permohonan, pegawai Imigresen bertugas mendapati gambar dikemukakan lelaki terbabit seolah-olah orang lain.

“Selepas pemeriksaan terperinci dilakukan, terbukti gambar tersebut kepunyaan seorang warga asing yang memiliki wajah seiras dengan suspek,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa hampir empat jam sebelum berjaya memujuk suspek untuk membuka mulut dan mengaku perbuatannya.

“Suspek memberitahu, dia dibawa oleh seorang ‘abang’ ke kaunter Imigresen berkenaan untuk mendapatkan pasport bagi seorang warga asing. Namun, si pembawa tidak bersamanya semasa membuat proses permohonan.

“Kita syak perbuatan ini didalangi satu sindiket berikutan mempunyai persamaan dengan kes yang berlaku di Klang, Selangor dua minggu lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Faizal berkata, suspek akan direman selama 24 jam sebelum dihadapkan kepada Majistret bagi melanjutkan tempoh penahanan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) supaya siasatan mendalam dapat dijalankan.

“Kes ini disiasat bawah Seksyen 12A Akta Pasport 1966, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun tetapi tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000,” katanya.