• Pemandu maut lori terjunam  
  • Keadaan lori yang remuk teruk selepas terbabas dan terjunam dari jejambat.

NILAI – Seorang lelaki maut selepas lori tangki yang dipandunya terbabas lalu terjunam daripada sebuah jejambat di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), arah selatan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa G Perumal, 59, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas tercampak keluar dari kenderaannya.

Menurut jurucakap polis, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Seremban selepas menghantar muatan gas petroleum cecair (LPG) ke Balakong, Selangor.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya lalu terjunam dari jejambat setinggi kira-kira 20 meter.

“Mangsa dipercayai tercampak dari kenderaannya sebelum dihempap kepala lori berkenaan dan diseret sejauh beberapa meter,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Port Dickson itu maut di tempat kejadian selepas sebahagian badannya hancur akibat dihempap kenderaan berat berkenaan.

“Ketika kejadian, tiada kenderaan lain yang melalui Jalan Besar Nilai berhampiran Taman Semarak yang terletak di bawah jejambat berkenaan.

“Beberapa jentera bomba dari balai Nilai dan unit bantuan di Hentian Rehat dan Rawat Nilai dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mayat mangsa,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, tangki yang dibawa mangsa kosong dan tiada sebarang kebocoran dilaporkan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah, mengesahkan kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.

Katanya, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.