2010/05/31
Kos peruntukan khas PM bakal dinikmati tahun depanLABU: Ketidakselesaan sebahagian murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Labu, di sini, yang kini belajar dalam kontena sejak Februari lalu bakal berakhir tahun depan apabila satu blok bangunan baru akan dibina menggantikan blok asal yang musnah terbakar.
Bangunan baru dua tingkat itu akan mempunyai enam kelas dan enam bilik pelbagai guna, termasuk makmal yang memberi keselesaan kepada pelajar dan guru.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata peruntukan itu adalah tambahan kepada peruntukan asal sebanyak RM350,000.
Bagaimanapun, katanya, peruntukan itu tidak cukup kerana bangunan itu musnah teruk akibat kebakaran menyebabkannya meminta Perdana Menteri supaya menyediakan satu peruntukan khas untuk membina semula bangunan itu.
“Perdana Menteri berbesar hati meluluskan peruntukan membina semula bangunan sekolah ini sebanyak RM1.5 juta lagi dengan kerja pembinaan dijangka dimulakan dua atau tiga bulan lagi,” katanya selepas melawat SJKT Ladang Labu, di sini.
Dalam kejadian kebakaran Disember lalu, satu blok bangunan sekolah itu yang dibina pada 1936 musnah menyebabkan sebahagian 97 murid dan 14 guru terpaksa belajar dalam kontena yang diubah suai menjadi kelas untuk meneruskan sesi persekolahan.
Subramaniam berkata, semua murid dan guru sekolah itu boleh meneruskan pembelajaran mereka dengan lebih selesa di bangunan baru itu.
Sementara itu, Guru Besar SJKT Ladang Labu, Ma Jakob, gembira kerana peruntukan bagi menggantikan bangunan yang musnah dalam kebakaran tahun lalu diluluskan.
Katanya, bangunan itu nanti bukan saja lengkap dengan kelas tapi juga bilik makmal dan komputer seperti yang ada di bangunan asal sebelum ini.
“Selepas ini pelajar tidak perlu lagi belajar dalam kontena yang bukan saja sempit, malah tidak selesa. Mereka boleh mula belajar seperti biasa seperti murid sekolah lain,” katanya


0 Komen