Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2010/05/31
Kerja naik taraf Hutan Lipur Jeram Tengkek gagal disiapkanBATU KIKIR: Kerja menaik taraf antara produk pelancongan terkenal di negeri ini, Hutan Lipur Jeram Tengkek di sini, didakwa terbengkalai sejak lebih enam bulan lalu menyebabkan kedatangan pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara menurun mendadak.
Tinjauan Berita Harian mendapati, pelantar kayu pejalan kaki sejauh kira-kira 100 meter yang menghubungkan kawasan pekarangan tempat letak kenderaan ke kawasan perkelahan serta jambatan utamanya sudah dirobohkan.
Bagaimanapun, sisa kayu pelantar terbabit hanya dilonggokkan di tepi laluan masuk menyebabkan kawasan perkelahan berkenaan kelihatan seperti ditutup dan mencemarkan pemandangan indah kawasan itu, yang pernah menarik kedatangan pengunjung dari seluruh negara.
Selain itu, laluan pejalan kaki menuju ke kawasan lebih tinggi berada dalam keadaan tidak berjaga dan dipenuhi lopak air berlumpur menyebabkan bau busuk.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Salim, 20, mendakwa dia dan rakan sekampung sering ke jeram berkenaan untuk mandi-manda setiap minggu walaupun ketika kerja menaik taraf kawasan berkenaan dimulakan sejak tahun lalu.
“Kami tidak melalui kawasan yang dinaik taraf itu, sebaliknya melalui anak sungai untuk ke seberang dan seterusnya ke kawasan lebih tinggi.
“Saya rasa kerja pembinaan terhenti sejak beberapa bulan lalu kerana tidak lagi melihat sesiapa melakukan sebarang kerja dan kawasan itu terbiar begitu saja,” dakwanya.
Seorang pengunjung, Mustafa Sharip Khan, 53, berkata beliau dan keluarganya terkejut melihat keadaan Jeram Tengkek apabila tiba di kawasan itu bersama keluarganya dari Kuala Lumpur.
“Kami diberitahu oleh yang menetap di Kuala Pilah mengenai keindahan kawasan ini dan mengambil keputusan untuk berkelah sambil menikmati keindahan flora dan fauna di sini.
“Namun sebaik tiba, keadaannya sangat menyedihkan menyebabkan kami sekeluarga kecewa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, kerja pembinaan terbengkalai itu merosakkan kawasan berkenaan dan kontraktor terbabit juga didakwa tidak prihatin kerana meninggalkan longgokan kayu serta sisa binaan, termasuk karung simen di kawasan itu.
Selain itu, katanya, sampah sarap dibiarkan bertaburan tanpa ada mana-mana pihak yang datang membersihkan kawasan itu.
Isterinya, Norizan Mat Desa, 51, berkata sungguh merugikan membiarkan tempat yang cantik seperti itu menjadi terbiar.
“Pihak berkaitan perlu memastikan tempat ini kembali cantik dan terpelihara supaya tidak kehilangan tarikan, tambahan pula ia terletak berhampiran kawasan homestay yang pastinya menjadi nilai tambah,” katanya


0 Komen