| |
| SEBAHAGIAN bangunan The Legend International Water Homes, Port Dickson. |
TELUK KEMANG 31 Mei - Sudah tiba masanya pemilik-pemilik hotel di Port Dickson menawarkan pakej bersama melibatkan kadar penginapan yang lebih rendah pada hari biasa agar menarik lebih ramai pengunjung.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu wajar diperhalusi oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan dalam mencari mekanisme terbaik menarik kedatangan pengunjung.
''Memang benar di Port Dickson kebanyakan hotel cuma penuh pada hujung minggu manakala kadar penginapan bagi hari biasa hanya mencapai 30 peratus.
''Hal ini memang disedari oleh kerajaan dan sebab itu kita memikirkan untuk menghasilkan produk yang boleh menarik pelancong setiap hari agar bilik-bilik hotel dapat dipenuhi," katanya dekat sini hari ini.
Mohamad berkata demikian selepas merasmikan The Hibiscus Garden Chalets yang merupakan pembangunan fasa kedua dalam projek eksklusif The Legend International Water Homes di Port Dikcson yang dimajukan Kuala Lumpur Metro Group.
Hadir sama Pengerusi Kuala Lumpur Metro Group, Datuk Mat Hassan Esa dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail.
Mohamad berkata, memang menjadi hasrat kerajaan negeri memastikan sasaran 30 peratus pendapatan negeri diperoleh melalui sektor pelancongan menjelang 2020.
''Maka kita mahu pastikan Port Dickson mempunyai banyak karakter dalam pembangunannya bagi mewujudkan kelainan yang dapat menambat hati pelancong setiap hari dan tidak hanya tertumpu pada hujung minggu atau musim percutian," ujarnya.
Sehubungan itu katanya, pelan induk Rancangan Tempatan Port Dickson yang kini dipamerkan untuk kali kedua kepada orang ramai akan menjadi asas kepada pembangunan terancang bandar peranginan itu.
''Dalam pelan induk ini banyak yang kita rancang termasuk cadangan membangunkan pusat konvensyen yang boleh menjadi dewan pameran, pasar raya besar, akuarium dan sebagainya.
''Banyak juga aktiviti yang kita laksanakan tertumpu di Port Dickson dengan harapan ia menjadi tarikan kepada pelancong setiap hari," ujarnya.
Mengenai usaha yang dilakukan oleh Kuala Lumpur Metro Group dalam mengadakan promosi jualan dan kemudian menyewa semula daripada pembeli, Mohamad berkata, ia adalah langkah yang bijak.
''Sejak resort ini dibuka tiga tahun lalu, mereka berjaya menerima pelancong luar negara seramai 300,000 orang.
''Jika kita lihat aspek pendapatan daripada industri pelancongan pula, andainya seorang pelancong membelanjakan RM1,500, perolehan pendapatan dicapai sebanyak RM450 juta.
''Ini memberi kebaikan bukan sahaja kepada pengusaha hotel tetapi juga restoran, pemandu teksi dan pembuat kraf tangan," katanya.
Ketika ini jelasnya, corak pemasaran yang dilakukan oleh Kuala Lumpur Metro Group berjaya menyakinkan pembeli iaitu hampir 100 peratus unit di resort itu dijual kepada individu luar negara.


0 Komen