| |
| BANGUNAN terbengkalai dan terbiar di Taman Serting Jaya dilindungi semak-samun dan memudahkan pelbagai kegiatan tidak bermoral berlaku. |
JEMPOL 2 Jun - Memang benar, sukar untuk mengawal premis terbiar apatah lagi pemiliknya tidak dapat dikesan dan hilang entah ke mana.
Namun begitu, ia bukan alasan bagi mana-mana pihak untuk enggan memantau atau mengambil inisiatif bagi memastikan premis terbiar kosong, ditumbuhi pokok dan hutan kecil itu, dibersihkan supaya tiada anasir negatif berlaku di situ.
Apa pun, harapan itu tidak berlaku di dua premis terbengkalai dan terbiar di Taman Serting Jaya dekat sini, apabila ia semakin 'berhantu' setelah semak-samun yang semakin tinggi menjadi 'mahligai' paling selesa kepada individu tidak bermoral.
Utusan Malaysia yang menerima aduan rakyat meninjau lokasi tersebut hari ini dan nyata, bangunan kosong itu dipenuhi pelbagai jenama arak, kotor dan penuh dengan puntung rokok.
Sama ada ia turut menjadi sarang penagih, sukar untuk dinyatakan tetapi tidak mustahil berdasarkan pemerhatian sekeliling di kawasan 'berhantu' ini, wujudnya senario demikian.
Menurut peniaga di kawasan berhampiran, Ab. Jalil Puteh, 61, bangunan rumah kedai itu tidak pernah berpenghuni sejak dibina sekitar tahun 70-an.
Pihak Majlis Daerah Jempol (MDJL) memberitahu, ia tidak diluluskan kerana keadaan sistem pembetungan yang tidak strategik.
''MDJL pernah datang dan membersihkan bangunan ini. Tetapi itu sudah lama, hampir 10 tahun lepas. Sejak itu tiada pihak berkuasa datang ke sini.
''Dulu ada pelajar membawa pasangan keluar masuk ke dalam bangunan itu.
''Pernah juga anggota polis membuat serbuan di situ. Namun kini keadaan dilihat semakin terkawal, biarpun masih ada kaki botol yang sering ke kawasan tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu seorang suri rumah, Asmah Mohd. Yakob, 54, menyatakan rasa bimbangnya jika ada penagih yang menjadikan bangunan terbengkalai dan terbiar itu sebagai tempat melepaskan gian.
"Jika sudah kehabisan wang, pastinya mereka akan mula mencuri, tambahan pula berhampiran bangunan itu terdapat banyak rumah dan pastinya ia menjadi sasaran kelak," jelasnya.
Kata Asmah, di dalam bangunan terbiar itu juga menjadi 'rumah baru' kepada anjing liar dan kadangkala haiwan itu menyalak kuat dan mengganggu penduduk di situ.
''Anjing itu kadangkala mengganggu kanak-kanak yang bermain. Apabila kami melihat anjing liar berkeliaran, semua masuk ke dalam rumah, takut dikejar binatang berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, dia dan penduduk di situ berharap ada pihak yang berkenaan datang melihat keadaan bangunan terbiar ini atau bersama-sama menganjurkan gotong-royong membersihkan kawasan itu.
''Kami tidak mahu, jika berlaku musibah, barulah hendak bertindak. Jika itu berlaku, ia sudah terlewat," katanya.


0 Komen