Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
bhnews@bharian.com.my
2010/06/10
Kerajaan negeri bantu 2,079 keluarga di Negeri SembilanSEREMBAN: Kerajaan negeri sedang mengkaji untuk memberi antara satu hingga dua hektar tanah izin guna kepada Orang Asli yang menghuni tanah itu dalam usaha mengatasi masalah pencerobohan tanah milik kerajaan itu.
Katanya, perkara itu masih dalam perbincangan kerana pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum meluluskan pemberian tanah itu.
“Kerajaan negeri mahu Orang Asli menjalani kehidupan yang sama seperti kaum lain di negara ini dan akan memastikan mereka mendapat hak yang sama.
“Kita sedang berunding untuk memberikan tanah kepada mereka secara adil. Ini membolehkan mereka mempunyai tanah untuk kediaman dan kegiatan pertanian,” katanya selepas merasmikan Seminar Pengguna Bersama Pemimpin Masyarakat Orang Asli, di sini, baru-baru ini.
Seramai 150 Orang Asli dari Negeri Sembilan dan Melaka menyertai seminar kepenggunaan itu. Peserta didedahkan dengan ilmu kepenggunaan yang disampaikan oleh pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri (PPDNKK).
Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) negeri, Bakar Unus.
Hasim berkata, sesetengah Orang Asli menggunakan tanah izin guna seperti tanah milik mereka dan sesuka hati melakukan penerokaan serta pembakaran terbuka hingga menjejaskan alam sekitar dan keaslian hutan.
Katanya, antara punca masalah itu adalah kerana kekurangan pengetahuan mengenai hak dan penggunaan tanah milik kerajaan menyebabkan mereka sewenang-wenang meneroka tanah simpanan milik kerajaan.
“Tindakan mereka bukan saja mendatangkan kerugian kepada kerajaan, malah boleh menyebabkan Orang Asli yang terbabit menghadapi tindakan undang-undang kerana menceroboh tanah kerajaan dan melakukan penebangan pokok tanpa kebenaran,” katanya.
Mengulas mengenai penerokaan hutan oleh Orang Asli di Bukit Miku, Kuala Pilah, beliau berkata kebanyakan mereka yang terbabit tidak tahu perbuatan itu menyalahi undang-undang dan menyangka tanah berkenaan milik mereka.
“PPDNKK dan JHEOA akan memberi penjelasan kepada Orang Asli mengenai tanah izin guna dan hak mereka terhadap tanah itu,” katanya


0 Komen