2010/06/10
SEREMBAN: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri akan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah untuk meningkatkan kesedaran mereka supaya menggunakan topi keledar ketika menunggang motosikal berikutan masih ramai tidak memakai alat pelindung kepala itu.Pengarah JKJR negeri, Mohd Rusdi Ismail, mengakui bahawa masalah itu masih serius kerana ramai pelajar yang menggunakan motosikal setiap hari persekolahan tidak memakai topi keledar.
“Sebanyak 344 kematian dicatatkan dalam kemalangan jalan raya di negeri ini tahun lalu dengan kira-kira 70 peratus berlaku di luar bandar. Antara faktor utama adalah kerana mengabaikan keselamatan jalan raya, terutama tidak memakai topi keledar.
“Jumlah kematian itu menurun berbanding 652 orang pada 2008. Bagaimanapun, 41 peratus daripada mereka yang terbabit dalam kemalangan maut tidak memiliki lesen memandu yang sah dan berusia antara 16 tahun dan 17 tahun,” katanya.
Isnin lalu, Berita Harian melaporkan masih ramai pelajar sekolah tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke sekolah.
Malah, ibu bapa sendiri yang sepatut menunjukkan teladan yang baik kepada golongan muda tidak memakai topi keledar ketika menghantar anak ke sekolah. Difahamkan sikap memandang mudah pemakaian topi keledar itu disebabkan jarak rumah dan sekolah tidak jauh.
Rusdi berkata, JKJR meminta sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengenal pasti pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah dan memastikan mereka memiliki lesen memandu yang sah dan memakai topi keledar yang memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin. Ibu bapa juga sepatutnya memastikan anak mempunyai lesen memandu dan memakai topi keledar apabila menunggang motosikal. Tanpa perhatian serius ibu bapa, usaha ini tidak akan berhasil,” katanya.
Katanya, JKJR akan terus menjalankan operasi pemeriksaan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain bagi meningkatkan tahap kesedaran pelajar dan orang ramai mengenai keselamatan jalan raya, terutama pemakaian topi keledar


0 Komen