Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2010/06/03
Kampung Orang Asli Tohor, Kenaboi tunggu lebih 10 tahunCHENNAH: Lebih 10 tahun penduduk Kampung Orang Asli Tohor, Kenaboi, di sini, menanti pembinaan jalan berturap masuk ke kampung mereka dan hingga kini, ia masih belum menjadi satu kenyataan.
Penduduk mendakwa banyak permohonan dibuat, termasuk melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) serta pemimpin kawasan terbabit, namun hampa kerana alasan sering diberikan adalah tiada peruntukan walaupun sudah beberapa tahun dijanjikan pembinaannya.
Tok Batin kampung itu, Apik Keteh, 44, mendakwa jalan berturap hanya dibina hingga ke sebuah lagi kampung, yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampungnya beberapa tahun lalu dan keadaan jalan itu juga kini sangat teruk.
“Kami pernah diberitahu kira-kira lima tahun lalu, peruntukan untuk membina jalan berturap hingga ke kampung ini sudah diluluskan, namun hingga kini tiada sebarang pembinaan dilakukan.
“Jalan berturap dari jalan besar hingga kampung bersebelahan juga dalam keadaan menyedihkan dengan kerosakan teruk di sepanjang jalan dan membahayakan pengguna yang melalui jalan itu setiap hari,” katanya.
Beliau berkata, keadaan jalan yang teruk itu menyebabkan penduduk sukar untuk keluar masuk dari kampung berkenaan terutama ketika berlaku kecemasan.
Penduduk kampung, Ramlan Sari, 32, berkata, kebanyakan keluarga di kampung itu bimbangkan keselamatan 25 kanak-kanak yang bersekolah di sebuah sekolah di Chennah dan berulang-alik setiap hari menaiki van sekolah disediakan JHEOA.
“Van sekolah mengambil kanak-kanak seawal jam 5 pagi kerana terpaksa bergerak perlahan disebabkan keadaan jalan yang teruk. Kami sentiasa bimbang jika van itu terbabas dan terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Dis Lagas, 42, menjadi orang yang paling sedih melihat keadaan jalan berkenaan kerana kehilangan isterinya disebabkan kelewatan ambulans membawa keluar isterinya ke hospital pada 19 Januari tahun lalu.
“Isteri saya mengalami pendarahan ketika bersalin dan penduduk terpaksa keluar ke pekan Chennah untuk menghubungi ambulans kerana ketiadaan talian telefon di kampung ini, kira-kira jam 7 malam. Ambulans tiba tiga jam kemudian.
“Bagaimanapun, isteri saya menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan keluar. Saya tidak menyalahkan pemandu ambulans itu kerana dia tidak dapat memandu laju dengan keadaan jalan yang teruk dan gelap,” katanya.
Justeru, beliau mahu pihak yang terbabit mengambil tindakan segera supaya kejadian serupa tidak berulang.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Dr Roslan Md Taha, berkata pihaknya dalam proses perbincangan untuk menaik taraf jalan masuk sejauh 4.5 kilometer dari jalan besar namun tidak sampai hingga ke Kampung Orang Asli Tohor.
“Buat masa ini, kita hanya mempunyai peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah untuk projek fasa 1 sejauh 4.5 kilometer hingga akhir tahun ini. Kemungkinan pembinaan jalan di kampung terbabit akan dibuat dalam fasa berikutnya,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Siow Chen Pin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chennah, berkata pihaknya akan mempertimbangkan perkara itu


0 Komen