|
|
RASAH 20 Jun – Pengorbanan serta komitmen golongan bapa di negara ini terhadap keluarga masing-masing, masyarakat dan negara layak diberi penarafan lima bintang serta penghargaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, walaupun terdapat beberapa kes bapa tidak bertanggungjawab seperti menghilangkan diri dan membuang anak sendiri, namun ia tidak mencerminkan sifat keseluruhan bapa di Malaysia.
Jelasnya, pengiktirafan layak diberikan kepada golongan itu berdasarkan sikap mereka yang bertoleransi dan bertanggungjawab dalam memimpin keluarga serta masyarakat setempat.
“Ada di kalangan bapa muda ketika ini membantu isteri menjaga anak, memasak, membasuh kain dan sebagainya. Kalau kita lihat dahulu perkara ini agak janggal dilakukan.
“Kebanyakan bapa di Malaysia bertanggungjawab, menyayangi anak-anak dan seharusnya kita jangan lupa pengorbanan mereka selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Seremban 2 di sini hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Razak Mansor; Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir.
Shahrizat turut meminta bapa-bapa di negara ini supaya menjalankan tanggungjawab menjaga keluarga bersama pasangan masing-masing dengan baik.
“Pada hari ini 42 peratus daripada keluarga diketuai oleh golongan bapa yang muda. Cabaran mereka lain daripada zaman dahulu iaitu mereka bekerja dan isteri pun bekerja.
“Ini saya tengok satu perkara yang paling kritikal. Apabila kedua-duanya selalu sibuk mereka tidak menjalankan tugas, ini tidak boleh dibiarkan berlaku,” jelasnya.
Pengorbanan bapa perlu diiktiraf
0 Komen