SEREMBAN: Pemimpin organisasi, termasuk ketua jabatan kerajaan perlu menyediakan segala sokongan diperlukan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memastikan ekonomi negeri berkembang maju dan penduduk dapat hidup sejahtera.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan, berkata inovasi berkesan diperlukan dalam mempelbagaikan cara kerja dan pemikiran kakitangan perkhidmatan awam supaya terus relevan selari dengan keperluan semasa.
“Pada hari ini, inovasi ICT memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang termasuk memudahkan urusan perdagangan, rawatan kesihatan, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan penggunaan ilmu pengetahuan dan memantapkan ekonomi dunia,” katanya ketika merasmikan ceramah inovasi dan kreativiti ICT di Wisma Negeri, di sini.
Pembantu tadbir operasi, Mohd Sharin Mohd Osman, 52, berkata melalui ceramah inovasi dan kreativiti ICT itu, beliau dapat mengetahui serba sedikit mengenai cara penggunaan ICT untuk memudahkan proses kerja.
“Selain itu, saya juga dapat melihat pelbagai contoh web jabatan lain untuk memudahkan masyarakat berinteraksi dengan jabatan kerajaan dan tidak perlu membuang masa rakyat dengan bersusah payah datang ke pejabat kerajaan hanya untuk menyelesaikan masalah biasa,” katanya.
Pembantu tadbir kewangan, Liza Salleh, 25, berharap ceramah itu akan diadakan lagi bagi membolehkan kakitangan awam menguasai ICT yang semakin canggih


0 Komen