TAMPIN – Penghujung 2010 menjadi lebih bermakna apabila lebih 40 keluarga anggota Ikatan Relawan (Rela) Rakyat Malaysia berpeluang menyempurnakan lawatan sambil belajar ke negara jiran iaitu Thailand.
Ketua Perhubungan Rela Mukim (KPRM) Tampin, Puteh Kasim berkata, lawatan ke tempat menarik sekitar Thailand seperti Hat Yai dan Songkhla itu bukan sekadar melihat keindahan negara jiran, sebaliknya menyemai semangat cintakan kesejahteraan negara.
Menurutnya, peranan Rela membantu anggota pertahanan negara dalam menjaga keselamatan masyarakat peringkat akar umbi berdasarkan konsep kesukarelaan dan khidmat komuniti.
“Oleh itu, kita berpendapat melalui penganjuran lawatan ini oleh Rela Kampung Baru Tampin mampu menawarkan pengalaman dan persekitaran berbeza kepada mereka untuk mencintai kekuatan masyarakat yang terdapat di negara kita.
“Malah, sejarah Songkhla yang mengimbau perpaduan melalui penonjolan seni keramik Thailand, China dan Melayu mampu memberi kesedaran kepada peserta meningkatkan semangat cintakan tanah air yang dihuni masyarakat berbilang bangsa,” katanya.
Puteh berkata, pengalaman menyertai lawatan berkenaan bermakna kepada peserta kerana sebagai ganja-ran riadah seisi keluarga setelah banyak memberikan kerjasama dalam setiap program dianjurkan Rela.
Menurutnya, banyak tugas kesukarelaan yang bakal dilaksanakan anggota Rela seperti membanteras musuh tanaman, menjaga keselama-tan penempatan sendiri dan lalu-lintas sekiranya terdapat program rasmi.
“Oleh itu, kita harap melalui lawatan ini, anggota Rela khususnya Rela Kampung Baru Tampin lebih bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab mereka menonjolkan semangat cintakan tanah air,” katanya.
0 Komen