Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menara ini akan dibina setinggi 12 tingkat dan tiga tingkat pada bahagian podium menara tersebut.
“Menara Mains itu dibina di tapak bekas Hotel Tasik di Jalan Tasik sebagai mercu tanda negeri ini yang sentiasa memartabatkan syiar Islam.
“Apabila siap, menara itu nanti ia akan menjadi ‘penyambut tetamu’ kepada pengunjung yang datang ke Negeri Sembilan khususnya daerah Seremban,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Bantuan Fakir Miskin serta Bantuan Tahunan Masjid di Masjid Kariah Chuah, Port Dickson, baru-baru ini.
Mohamad berkata, tujuh masjid di daerah ini menerima bantuan sebanyak RM10,500 daripada Mains untuk tujuan penyelenggaraan perlaksanaan aktiviti di masjid masing-masing.
“Untuk tahun 2005 hingga 2010 sahaja sebanyak 17 masjid dibina dengan kos mencecah RM8 juta sementara bagi tahun ini, sebanyak tiga masjid baru telah dibina.
“Pada tahun hadapan pula, tiga lagi masjid masing-masing di Rantau, Bandar Springhill dan Serting Tengah akan dibina dengan setiap satu kos mencecah RM10 juta,” katanya.
Menurutnya, kerajaan Negeri Sembilan akan terus memastikan kedaulatan Syiar Islam sentiasa dipertingkatkan dan antaranya melalui pembinaan masjid di negeri ini untuk memudahkan masyarakat Islam melaksanakan ibadah dengan selesa.
“Negeri kita juga memiliki individu yang pakar dalam agama dan baru-baru ini Negeri Sembilan berjaya melahirkan qari serta qariah berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Oleh yang demikian, anak-anak yang berpotensi mengikut jejak qari dan qariah ini akan dibimbing sehingga layak ke pengajian Akademi Al-Quran yang akan dijalankan pada hujung minggu dan musim cuti sekolah,” katanya.
Malah katanya, perkara itu akan diwujudkan segera bagi melaksanakan pembangunan seimbang memandangkan mereka telah memiliki Akademi Bola Sepak yang mendapat sambutan baik.
“Selain itu, banyak yang telah dilakukan Kerajaan Negeri Sembilan dan masyarakat menerima manfaatnya.
“Pelbagai cara dilakukan dengan matlamat, anak mesti khatam al-Quran sebelum memasuki sekolah menengah,” katanya.
Katanya, jika tahun lepas, seramai 5,000 murid Tahun Enam khatam al-Quran dan pada tahun ini, telah ada perancangan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan untuk majlis sama dilakukan dan melibatkan murid Tahun Enam dan Lima mencecah 13,000 murid.
“Majlis ini bakal menjadi acara tahunan Kerajaan Negeri dan bakal dilaksanakan di padang majlis perbandaran,” katanya lagi.
Pada majlis ini, Mohamad menyampaikan bantuan Mains kepada tujuh Masjid di Port Dickson dengan setiap masjid menerima RM1,500 dan juga kepada 57 penerima asnaf fakir miskin menerima RM300 setiap seorang serta meluluskan sumbangan lima komputer kepada kariah Masjid Chuah.
Selain itu, majlis khatam al-Quran turut diadakan oleh rakan muda daripada tujuh Persatuan Belia di negeri ini melibatkan 280 orang di masjid berkenaan bermula jam 4 petang hingga 7 malam.


0 Komen