Meskipun, Hari Kemerdekaan bakal disambut beberapa hari saja lagi, namun sambutan hambar itu membuatkan suasana menjelang hari bersejarah berkenaan seolah-olah dilupakan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, kesedaran orang ramai terhadap kempen kibarkan Jalur Gemilang ternyata rendah biarpun kerajaan sudah melakukan pelbagai usaha termasuk kempen di setiap pelusuk daerah.
“Bukan sahaja kesedaran terhadap cintakan negara, malah sikap orang ramai yang mungkin menunggu bendera percuma antara punca kurang bersemangat untuk kibarkan bendera sama ada di rumah, premis perniagaan, mahupun kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Mohammad Razi berkata, kedatangan Aidilfitri yang serentak dengan Hari Kemerdekaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak bersama-sama menunjukkan semangat cintakan tanahair seperti mana masyarakat terdahulu.
Berikutan itu, beliau meminta warga negeri ini untuk bersama-sama menunjukkan semangat cintakan tanahair dengan menyemarakkan lagi kempen Jalur Gemilang.


0 Komen