REMBAU 24 Ogos - Suasana malam yang terang-benderang kini dinikmati lebih 150 penduduk Kampung Kombok dekat sini apabila sebanyak 19 tiang lampu sejauh dua kilometer dipasang di kampung berkenaan.
Projek Pencahayaan Kampung Baru Kombok itu dilaksanakan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri ini melibatkan kos sebanyak RM40,000.
Projek itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.
Turut hadir Ketua MIC Cawangan Kampung Kombok, S. Subramaniam.
Mohamad dalam ucapannya pada majlis itu mengucapkan terima kasih kepada TNB kerana membantu menjayakan Dasar Pencahayaan yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk rakyat negeri ini.
Beliau berkata, pemasangan lampu jalan itu diberikan secara percuma oleh TNB manakala bilnya akan dibayar oleh Pejabat Menteri Besar.
"Hasrat saya ialah supaya kita mesti sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
"Saya berharap lampu jalan ini akan berfungsi dan memberikan kemudahan kepada orang ramai di kampung ini," katanya.
Menurutnya, kini dasar pencahayaan itu masih di peringkat fasa pertama yang mensasarkan jalan-jalan utama, persimpangan jalan dan jalan-jalan penting di negeri ini.
"Fasa kedua nanti kita akan pastikan supaya jalan-jalan di luar bandar untuk diberikan pencahayaan termasuk jalan-jalan kampung," ujarnya.


0 Komen