SEREMBAN 24 Ogos - Beberapa lokasi yang dianggap panas dan dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini akan dipantau oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan menerusi rondaan sepanjang musim perayaan ini.
Pengarahnya, Saadon Mohktar menjelaskan, langkah itu merupakan salah satu pendekatan pihaknya untuk mempercepatkan pemberian bantuan kepada mangsa kemalangan.
Jelas beliau, rondaan tersebut akan melibatkan beberapa kenderaan bomba termasuk unit bermotosikal.
"Rondaan ini merupakan sebahagian daripada Ops Raya yang dilancarkan pada 22 Ogos lalu dan akan berakhir pada 6 September ini," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan simulasi menyelamat mangsa kemalangan di Kilometer 249.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan kelmarin.
Saadon turut menjelaskan, seramai 400 anggota dari 13 balai bomba di seluruh negeri ini sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim perayaan ini.
"Selain melakukan rondaan, kita juga menempatkan anggota dan peralatan di Plaza Tol Senawang dan Hentian Rehat dan Rawat Nilai sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian tidak diingini.
"Kita berharap dengan langkah-langkah yang diambil ini akan mempercepatkan tindakan kita membantu mangsa kemalangan selain dapat mengurangkan jumlah kematian," ujarnya.


0 Komen