KUALA LUMPUR 16 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 November ini untuk memutuskan permohonan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bagi membatalkan saman RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya atas dakwaan memfitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai kira-kira tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dalam kes itu di kamar beliau hari ini.
Ketua Pembangkang itu selaku plaintif diwakili oleh peguam-peguam Sulaiman Abdullah dan J. Leela manakala Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau diwakili peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO kerana didakwa memfitnah beliau dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun yang sama.
Ekoran ceramah tersebut, plaintif mendakwa defendan telah mengucapkan dan menyebabkan penerbitan satu rakaman klip video dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com yang menerbitkan sebuah artikel bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ yang didakwa mengandungi kata-kata fitnah.
Plaintif mendakwa, kata-kata tersebut menyinggung dan merupakan fitnah dengan niat memperkecilkan dirinya sebagai bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri, menuntut ganti rugi pampasan RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan injunksi selain faedah lapan peratus serta kos.


0 Komen