SEREMBAN 16 Nov. - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menyerbu sebuah pusat mencuci kereta kerana disyaki menjalankan kegiatan mencuri air melalui penyambungan haram di Nilai, dekat sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaan Sains dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Pengurus Khidmat Pelanggan & Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap premis berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan berkenaan.
''Hasil pemeriksaan mendapati pengusaha premis berkenaan melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 16 milimeter (mm) dari paip utama milik Sains.
''Siasatan lanjut mendapati air yang disambung secara haram digunakan bagi menjalankan aktiviti di premis tersebut," katanya di sini hari ini.
Jelas Azlan, satu notis makluman kesalahan telah dikeluarkan terhadap pengusaha premis berkenaan dan paip yang digunakan turut disita untuk dijadikan bahan bukti.
''Ujian klorin yang dijalankan turut mendapati bekalan air yang digunakan di premis terbabit merupakan air terawat milik Sains.
''Kes ini disiasat mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.
Tambahnya, Sains menghargai kerjasama orang awam dalam membendung kegiatan haram berkenaan.
''Mereka yang mempunyai sebarang maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 dan identiti pemberi maklumat dirahsiakan," ujarnya.


0 Komen