SEREMBAN 17 Nov. - Pasangan kembar tiga bukan sahaja berkongsi rupa paras yang hampir sama tetapi juga masing-masing turut memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan, hari ini.
Pasangan trio Anis Adlien Azmi, 12, dan dua adik kembarnya, Mohd. Adlie, Anis Adlina berkata, kejayaan mereka adalah hasil usaha bersama serta sokongan guru dan keluarga.
Mereka yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya di sini memberitahu, salah satu resepi kejayaan mereka ialah tidak meninggal solat dan membaca ayat suci al-Quran.
Anis Adlien berkata, mereka bertuah kerana dilahirkan kembar tiga sekali gus memudahkan mereka mengulang kaji pelajaran bersama-sama.
"Setiap kali mengulang kaji pelajaran kami akan duduk bersama-sama dan berbincang mengenai sesuatu perkara yang tidak faham.
"Kami juga tidak pergi ke kelas tambahan dan hanya cukup memberikan tumpuan ketika di kelas serta waktu mengulang kaji pelajaran bersama-sama," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagi Mohd. Adlie pula, mereka tidak meninggalkan solat dan sering membaca al-Quran serta membuat solat hajat ketika semakin hampir menghadapi peperiksaan.
"Alhamdullilah, berkat kesabaran dan dorongan guru serta ibu bapa kami akhirnya mendapat keputusan yang cemerlang," ujarnya yang bercita-cita menjadi jurutera.
Sementara itu, bapa kepada pasangan kembar berkenaan, Azmi Basir, 50-an berkata, beliau menerapkan disiplin yang tinggi ketika mendidik anak-anaknya itu.
"Anak-anak saya ini jarang keluar menghabiskan masa di luar rumah dan saya memastikan mereka mengulang kaji pelajaran pada setiap hari.
"Kejayaan mereka ini juga adalah berkat kesabaran guru-guru di sekolah yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu kepada anak-anak saya ini," jelasnya.


0 Komen