SEREMBAN 17 Nov. – Filem sering menghasilkan kumpulan fanatiknya yang tersendiri. Lazimnya, peminat yang fanatik bukan sahaja mengumpul koleksi filem tersebut tetapi apa saja yang berkaitan dengannya seperti mainan, pakaian atau replika yang mempunyai logo serta lukisan di atasnya.
Itu yang berlaku kepada Nazlisham Mohammad, 37, yang telah mengumpul lebih 1,000 koleksi Star Wars sejak 10 tahun lalu.
Walaupun filem Star Wars tidak ditayangkan lagi, beliau merasa puas kerana dapat mengumpul patung aksi yang memberi kesan mendalam kepada dirinya.
Antara barangan koleksi Star Wars yang mendapat tempat di hati beliau ialah poster dan baju serta barangan watak Star Wars seperti Jarjabinks, Tie Bomber, Tie Fighters.
“Saya sangat teruja mengumpul barangan Star Wars dan mengumpul semua koleksi berkaitan filem itu sejak 10 tahun yang lalu.
“Filem berunsurkan sains fiksyen itu menampilkan watak-watak yang unik dan tidak mampu ditandingi oleh telefilem zaman sekarang,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau yang aktif dalam pembuatan kemeja-T dan potret menjadikan hobi mengumpul barangan Star Wars sebagai daya tarikan kepada pelanggan di kedai pakaian yang diusahakannya.
“Di pasaran terdapat bermacam-macam jenis dan barangan Star Wars yang boleh didapati terutamanya di Kuala Lumpur.
“Nilai Star Wars yang paling mahal saya beli ialah RM200,” ujarnya.
Tambahnya, barangan koleksi Star Wars begitu terhad sehingga menyebabkan harga mencecah ribuan ringgit.
Bagi mengekalkan kualiti patung yang menarik, beliau tidak pernah lupa aspek penjagaan koleksi tersebut.
Katanya, setiap bulan beliau akan memastikan kualiti kebersihan patung aksi dijaga rapi dengan memperagakan di almari khas di rumah atau di kedainya.
Kerana menghargai koleksi barangan itu, beliau masih tidak membuka plastik dan menyimpan kotak dengan rapi.
Nazlisham yang aktif dalam bidang muzik menganggap hobi mengumpulkan barangan Star Wars sebagai satu aktiviti yang cukup menyeronokkan.
Menurutnya, semua patung aksi filem itu dikumpul sejak awal 2001 dan sehingga kini dia mempunyai lebih 1,000 koleksi di rumahnya di Warisan Puteri dekat sini dan kedainya.
“Saya juga serngkali melayari laman web dalam setiap pembelian barangan Star Wars.
“Inilah istimewanya dapat menjadi pengumpul patung aksi kerana selepas menonton filem, kita dapat mengumpul koleksi yang sukar diperolehi,” jelasnya.
Selain mempunyai koleksi patung aksi, Nazlisham juga mempunyai koleksi pesawat serta kostum yang diperoleh ketika berkunjung ke Singapura dan Indonesia.
“Sebab utama saya suka kumpul adalah kerana bentuknya yang unik dan menarik,” ujarnya.


0 Komen