SEREMBAN 17 Nov. - Seramai 2,169 orang calon negeri ini berjaya memperoleh 5A dan 7A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekali gus menyaksikan penurunan sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun lalu.
Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Abdul Halim Abdul Razak berkata, walaupun ada sedikit penurunan dari segi calon yang memperoleh keputusan penuh semua A, namun prestasi negeri itu tetap cemerlang apabila Gred Purata Negeri (GPN) menunjukkan peningkatan sebanyak 0.02 kepada 2.17 berbanding tahun lalu.
''Prestasi sekolah luar bandar juga meningkat berbanding tahun lalu apabila mencatat GPN 2.23 berbanding 2.26 pada tahun sebelumnya.
''Sekolah bandar juga menunjukkan peningkatan yang baik apabila memperoleh GPN 2.07 berbanding 2.08 pada tahun sebelumnya," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, seramai 1,069 calon di sekolah bandar memperoleh keputusan penuh 5A dan 7A, manakala bagi sekolah luar bandar pula seramai 1,100 pelajar memperoleh keputusan cemerlang semua A.
Abdul Halim juga memberitahu, pada tahun ini Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil turut menunjukkan peningkatan yang membanggakan.
''Jumlah calon yang memperoleh keputusan di bawah tahap penguasaan minimum juga berkurangan kepada 383 berbanding 510 pada tahun sebelumnya," ujarnya.
Beliau juga mengumumkan bahawa, Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri di Seremban, SK Lenggong Ulu di Rembau dan Sekolah Menengah (Model Khas), Batu Kikir di Kuala Pilah antara sekolah terbaik berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) di negeri ini.
Jelasnya, SK Puteri merupakan sekolah yang mencatatkan jumlah pelajar teramai apabila seramai 93 daripada 188 orang pelajar memperoleh 5A.
''Kejayaan anak-anak kita ini adalah usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran yang menyalurkan peruntukkan bagi menjalankan aktiviti membentuk modal insan yang berguna.
''Terima kasih juga kepada kerajaan negeri dan agensi kerajaan yang lain yang sebelum ini memberi komitmen dalam usaha melahirkan pelajar yang cemerlang," katanya.
Menurutnya, pada tahun ini seramai 18,635 calon menduduki peperiksaan UPSR berbanding 18,790 calon pada tahun sebelumnya.


0 Komen