SEREMBAN 23 Nov. - Lebih 5,000 penduduk di sekitar Taman Chip Aik dan Taman Bukit Mika kini boleh menarik nafas lega apabila Majlis Perbandaran Seremban (MPS) akan memasang lampu isyarat di simpang empat di kawasan itu tidak lama lagi.
Yang Dipertua MPS, Datuk Abd. Halim Abd. Latif memberitahu, langkah memasang lampu isyarat dibuat selepas pihaknya menyedari masalah yang dihadapi oleh penduduk berikutan kesukaran untuk keluar dari kawasan persimpangan berkenaan setiap hari.
Jelasnya, MPS telah meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi kerja-kerja memasang lampu isyarat di kawasan simpang empat di Jalan Tun Dr. Ismail dekat sini.
"Kawasan ini penduduknya agak ramai dan setiap hari menggunakan laluan utama ini untuk ke bandar ini mahupun ke Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas).
"Agak sukar bagi mereka untuk keluar dari kawasan persimpangan ini memandangkan lokasi ini terletak di kawasan cerun," katanya selepas melawat lokasi itu hari ini.
Justeru, kata beliau, sebagai langkah awal pihaknya akan mendirikan papan tanda selain meminta kerjasama Unit Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal lalu-lintas.
Jelas beliau, pemasangan lampu isyarat itu dijangka dilakukan akhir Disember atau Januari tahun depan.
"Walaupun setakat ini belum ada kemalangan maut dilaporkan, kita akan pasang lampu isyarat itu. Kita harap ia akan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya sekali gus menyelesaikan masalah di kawasan ini," jelas beliau.


0 Komen