SEREMBAN 18 Nov. - Lebih 10 keluarga di sekitar perumahan Taman Kobena di sini resah berikutan masalah longkang yang menghantui mereka sejak lima tahun lalu.
Penduduk mendakwa, keadaan bertambah buruk setiap kali longkang berhampiran rumah mereka dipenuhi air sehingga mengeluarkan bau busuk yang meloyakan.
Menurut wakil penduduk, Abdul Jalil Jaamat, 76, ia berikutan longkang yang dibina di kawasan terbabit tidak memenuhi spesifikasi sistem perparitan menjadikan aliran air kurang lancar sekali gus menyebabkan air sering bertakung.
Katanya, penduduk telah membuat aduan berhubung masalah tersebut pada pihak berkaitan, namun sehingga kini masih tiada tindakan diambil.
"Kami amat kecewa kerana masalah ini tidak diberi perhatian oleh pihak berkenaan, sebaliknya mereka hanya saling menuding jari menyalahkan pihak lain sekali gus terus menjadikan kami sebagai mangsa keadaan.
"Mereka ini seperti lepas tangan kerana masalah ini sudah berlarutan untuk tempoh yang lama, bukan sehari dua," katanya yang mendakwa masalah itu telah berlarutan sejak 2006.
Jelasnya, sebelum ini penduduk mengambil inisiatif sendiri dengan mengorek saluran longkang tersebut bagi mengelakkan air kotor melimpah ke atas jalan, namun masalah itu gagal diatasi.
"Akibat limpahan itu, jalan di sekitar kawasan ini menjadi berlubang," katanya.
Tambahnya, keadaan akan menjadi bertambah teruk setiap kali musim hujan hingga menyebabkan berlakunya limpahan dan takungan air di sekitar rumah penduduk.
"Air tidak dapat mengalir lancar disebabkan tiada saluran keluar yang efektif. Air mengalir secara perlahan dan akhirnya bertakung," katanya.
Tegasnya, keadaan itu mendatangkan pelbagai masalah termasuk dari aspek kesihatan kerana masalah air bertakung itu juga menjuruskan kepada pembiakan nyamuk.
Sehubungan itu, Abdul Jalil memohon pihak berkenaan supaya memandang serius masalah tersebut dan mengambil tindakan segera demi kesejahteraan penduduk.


0 Komen