SEREMBAN 27 Nov. - Pelan Strategik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ISP) yang diperluaskan oleh kerajaan negeri bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan proses urusan seharian malah ia juga dapat mengurangkan digital antara bandar dan luar bandar.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelbagai inisiatif kerajaan negeri telah pun dijalankan, termasuklah memperkenalkan 1NS Wireless City di beberapa kawasan Seremban, Seremban 2, Nilai, Senawang, Rantau, Port Dickson dan Tampin.
Malah, kata beliau, usaha itu turut diteruskan di kawasan perkampungan luar bandar yang mana pihaknya menjalinkan kerjasama dengan kementerian berkaitan melalui penyediaan prasarana jalur lebar di kawasan perkampungan di negeri ini.
"Kita mahu supaya ledakan teknologi dalam penembusan jalur lebar di negeri ini dapat dinikmati bukan hanya di kawasam bandar sahaja malah ia juga dapat digunakan oleh penduduk -dikawasan luar bandar ketika ini.
"Malah konsep ini juga akan juga diguna pakai dalam sistem kerajaan supaya ia dapat diintergrasikan bagi memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan pihak kerajaan mahupun pihak berkuasa tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian NSICT 2011 di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, dekat sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor serta ahli-ahli Exco kerajaan negeri; ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan para pegawai kanan kerajaan negeri.
Mohamad menjelaskan, kemudahan ICT ketika ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada orang ramai supaya mempelajari bidang teknologi (IT) malah ia juga dapat memberi peluang kepada generasi muda turut sama menggunakannya bagi tujuan pembelajaran dan sebagainya.
Pada masa sama, beliau juga melahirkan rasa sukacita dengan kadar penembusan jalur lebar di negeri ini telah mencapai 75 peratus, manakala tahap capaian rangkaian selular pada tahap 98 peratus.
"Pencapaian itu selari dengan hasrat dan dasar kerajaan untuk menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjelang 2020.
"Bagaimanapun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan kita berharap supaya pihak syarikat penyedia telekomunikasi dapat mengatasi masalah berkenaan supaya tidak ada gangguan untuk pengguna untuk berhubung sesama mereka," jelas Mohamad.
Menyentuh mengenai karnival yang diadakan selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad ini, Mohamad berkata, pihaknya mahu menjadikan ia sebagai program tahunan dapam usaha kerajaan meningkatkan kadar celik IT masyarakat di negeri ini.


0 Komen