SEREMBAN 27 Nov. - Golongan yang berkepentingan dan mempunyai agenda untuk memusnahkan perpaduan negara perlu ditolak bagi memastikan keharmonian masyarakat sentiasa terjamin.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, orang ramai tidak seharusnya termakan janji ditabur oleh segelintir pihak kerana ia merupakan racun yang membinasakan akar perpaduan yang telah dinikmati sejak sekian lama.
"Jangan percaya dengan cakap-cakap pihak tertentu yang mengatakan apa sahaja dibawa oleh kerajaan itu tidak betul.
"Saya yakin rakyat tidak mudah diperbodohkan dengan kenyataan yang tamak dahagakan kuasa," katanya ketika berucap pada Majlis Berkhatan Beramai-ramai Kanak-Kanak Penduduk Taman Senawang Jaya di Senawang dekat sini, semalam.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Zaifulbahri Idris dan Setiausaha UMNO Bahagian Rembau, Datuk Azman Hasan.
Mohamad berkata, adalah penting bagi masyarakat menilai apakah peranan yang telah dimainkan oleh pembangkang dalam menyelesaikan masalah rakyat termasuklah di kawasan pembangkang.
"Jawapannya tidak ada. Mereka hanya pandai meraih populariti dengan mencari isu tanpa menyelesaikan masalah dan hanya menuduh kerajaan tidak berbuat apa-apa," katanya
Pada majlis berkenaan 19 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di tepung tawar dan disiramkan dengan air pili bomba yang dilakukan sendiri oleh Mohamad sebelum dikhatankan beramai-ramai.


0 Komen