SEREMBAN 4 Dis. - Hasrat dua sahabat untuk pulang ke rumah masing-masing selepas berjumpa rakan mereka di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 285, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Nilai, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 5.55 pagi itu kedua-dua wanita berkenaan Khow Kim Lan, 29, dan rakannya, Lau Wong Yee, 27, maut apabila kereta jenis Perodua Kelisa yang mereka naiki merempuh treler yang sedang berhenti di lorong kecemasan.
Jurucakap polis memberitahu, kejadian itu berlaku apabila pemandu Perodua Kelisa itu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu merempuh belakang treler itu yang sedang berhenti kerana mengalami kerosakan tayar.
"Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Senawang selepas berjumpa rakan mereka di Kuala Lumpur.
"Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu kereta itu maut di tempat kejadian manakala rakannya meninggal dunia kira-kira pukul 9.15 pagi ini di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Ja'afar akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat dan telah dituntut keluarga hari ini.
"Buat masa ini punca sebenar masih dalam siasatan dan kita meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil bagi membantu siasatan," katanya.


0 Komen