Tarikh : December 13, 2011
KUALA PILAH – Seorang pekerja SWM Enviroment Sdn Bhd (SWM) mengalami detik-detik cemas apabila nyaris ditimpa sebatang pokok dipercayai jenis kayu ara yang tumbang ketika melakukan kerja menyapu kira-kira jam 8.15 pagi di Jalan Bukit dekat sini, semalam.
Mangsa, Norsita Mohd Ibrahim, 39, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyapu di bawah pokok besar itu yang berusia lebih 30 tahun.
Menurutnya, tiba-tiba terdengar bunyi seolah-olah ranting patah dan kemudian melihat ke arah pokok itu sebelum ia semakin senget.
“Saya terus berlari ke tempat yang lebih selamat selepas terdengar jeritan pengawal keselamatan perpustakaan berhampiran menyuruh saya ‘lari’,” katanya kepada Sinar Harian.
Norsita berkata, dalam keadaan badan menggigil, dia berlari keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang dihempap pokok ataupun dahan besar.
“Kejadian ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Setiap hari, saya akan menyapu kawasan ini bermula dari taman permainan kanak-kanak hingga jalan simpang ke Dewan Datuk Bahaman Shamsudin.
“Memang malam tadi, hujan lebat dan mungkin sebab itu pokok tersebut tumbang. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana sempat melarikan diri,” katanya yang sudah berkerja bersama SWM selama setahun.
Norsita berkata, mujur ketika kejadian tiada kenderaan melalui jalan tersebut.
“Kebiasaannya, jalan ini sibuk ketika waktu pagi kerana masing-masing hendak menuju ke bandar Kuala Pilah.
“Namun, ketika itu, hanya saya seorang sahaja yang sibuk membersihkan daun-daun kering di atas Jalan Bukit ini berhampiran taman permainan kanak-kanak,” katanya.
Dalam pada itu, Norsita berkata, sepanjang jalan tersebut, terdapat pokok yang tinggi berkemungkinan boleh berlaku kejadian seperti hari ini (semalam).
“Saya sudah menyapu di kawasan ini sejak setahun lalu. Perasaan takut dan bimbang tetap ada ketika melalui bawah pokok yang tinggi hampir 23 meter.
“Bila hujan dan angin ribut, bimbang pokok itu tumbang secara tiba-tiba seperti kali ini. Mungkin hari ini, tiada kemalangan jiwa berlaku, pada hari seterusnya, kita tidak tahu,” katanya.
Sehubungan itu katanya, diharap pihak berkenaan dapat mencantas dahan pokok berkenaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini pada masa akan datang.
0 Komen