Tarikh : December 13, 2011
TERACHI – Tauke kolam pancing ikan mengalami kerugian kerana belum sempat membuka kolam pancingnya untuk penggemar kaki pancing apabila sebuah kereta terjunam ke kolam tersebut dekat sini, semalam.
Tauke, Mohd Sharil Mohamad, 28 berkata, kerana kemalangan itu, dia terpaksa menutup kolam pancing yang sepatutnya dibuka jam 3 petang, semalam hingga 1 pagi.
Menurutnya, dia dapat tahu mengenai kemalangan itu daripada seorang rakan.
“Ketika itu, saya dalam perjalanan ke kolam. Apabila dapat tahu, berlaku kemalangan, saya bergegas ke tempat tersebut.
“Saya lihat sebuah kereta jenis Honda berada di dalam kolam ikan saya. Saya terpaksa tutup pada hari ini dan menanggung kerugian hampir RM1,000,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sharil berkata, rata-rata kaki pancing melahirkan rasa kecewa berikutan kolam berkenaan ditutup pada hari ini (semalam).
“Ramai kenalan kaki pancing tidak mengetahui kemalangan ini. Ada yang datang dari jauh, terpaksa berpatah balik kerana tidak dapat memancing.
“Hari ini, kira-kira 20 pelanggan datang untuk memancing di sini. Walau bagaimanapun, esok saya tetap akan buka kolam pancing ini seperti biasa,” katanya baru sahaja mengambil alih kolam itu selama lima bulan.
Katanya, dia akan menuntut kerugian berikutan terdapat kerosakan akibat kemalangan tersebut.
“Saya akan menuntut ganti rugi kerana banyak kerosakan berlaku seperti tiang lampu akibat rempuhan kuat kereta tersebut.
“Tambahan pula, terdapat berpuluh-puluh ekor ikan di dalam kolam ini seperti, ikan patin, ikan tongsan dan lain-lain yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran,” katanya.


0 Komen