TELOK KEMANG 4 Dis. – Sebuah keluarga kini sering dibayangi ketakutan ekoran kerap menerima ugutan dan diganggu kumpulan peminjam wang tanpa lesen atau ah long sejak beberapa bulan lalu.
Chin Tam Yu, 75, berkata, dia sekeluarga kini hidup dalam keadaan tertekan kerana hampir setiap hari berdepan dengan pelbagai ugutan termasuk ugutan bunuh daripada kumpulan tersebut.
Menurutnya, semua itu bermula apabila anak perempuannya yang berusia 30-an meminjam wang berjumlah lebih RM30,000 daripada kumpulan terbabit.
‘‘Saya sebenarnya tidak tahu bila anak saya meminjam wang berkenaan dan tujuan dia berbuat demikian kerana sudah beberapa bulan tidak pulang ke rumah serta jarang menghubungi saya.
‘‘Namun, dia sebelum ini pernah memberitahu saya bahawa dia sudah melunaskan hutang berkenaan termasuk bunganya sekali berjumlah RM50,000 pada Ogos lalu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Ria, Port Dickson di sini, semalam.
Sungguhpun begitu, Tam Yu mendakwa, dia sekeluarga masih diganggu kumpulan ah long berkenaan dengan alasan anaknya masih lagi mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM3,000.
‘‘Sejak itu saya sering menerima pelbagai ugutan dan mereka juga pernah mengugut untuk membunuh kami sekeluarga jika gagal melunaskan hutang berkenaan.
‘‘Baru-baru ini kumpulan berkenaan juga bertindak mengunci pintu pagar saya dengan rantai dan saya bimbang sekiranya mereka bertindak dengan lebih kejam lagi,” jelasnya.
Menurut warga emas itu, gara-gara tertekan dengan gangguan tersebut dia membuat laporan polis demi keselamatan anggota keluarganya yang lain.


0 Komen